Sunday, 12 July 2015

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Kuala Kangsar


Satu majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim seluruh Kuala Kangsar telah diadakan di Masjid Ubudiah baru-baru ini anjuran bersama Bank Rakyat . Ianya juga turut di hadiri oleh Orang-Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar .










Bank Rakyat juga turut mendermakan dana sejumlah RM20000 bagi majlis ini .


Majlis turut diserikan lagi dengan ucapan ringkas Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar .











Majlis penyerahan duit raya kepada anak-anak yatim oleh pengurus Bank Rakyat .







Wednesday, 8 July 2015

Keindahan Reka Bentuk Masjid Ubudiah kuala Kangsar..


Reka bentuk masjid ini begitu menarik.Pelannya telah dirangka dan merupakan idea Pereka bentuk Kerajaan Negeri-Negeri Melayu,Arthur Bension Hubback dan dipertanggungjawabkan kepada W.S.Huxley.



Masjid ini juga kelihatan berbentuk oktagon dan ianya mempunyai 4 buah menara setinggi 126 Kaki  serta ianya dikelilingi oleh kubah-kubah di bahagian dalam di mana tiap-tiap satu garis pusatnya berukuran sepanjang 60 kaki. Bahagian-bahagian dalam dinding dan lantai masjid ini juga menggunakan batu marmar berwarna merah dan putih yang telah dibawa khas dari Itali.

Bentuk dinding masjid ini juga menunjukkan sebuah bangunan berkubah  induk besar ditengahnya .Disekililingnya pula, terdapat empat buah anjung yang mengandungi sebuah kubah pada setiap pertengahan anjung ,lapan buah menara induk dan enam belas menara apit . 
Jumlah kubah dan menara di ambil sempena aturan gelaran Orang Besar-Besar iaitu Orang Besar Ampat, Orang Besar de-lapan dan Orang Besar Enam Belas. Keluasan ruang induknya ialah 20 m x 20 m dan ianya dilingkungi oleh serambi utama selebar 2.5 m yang juga mempunyai sebuah kubah. Sebuah kolah untuk mengambil air sembahyang juga dibina dan ianya terletak di sisi timur serambi tersebut.


Masjid Ubudiah ini juga mempunyai ruang solat yang luas dan diperindahi dengan cahaya lampu yang  menyinari di setiap ruang. Tambahan pula, Masjid ini mempunyai sebuah kubah utama dan beberapa kubah kecil  yang berwarna keemasan yang memang cukup menarik.
Ruang solatnya juga turut dilengkapi dengan alat penghawa dingin bagi menambahkan keselesaan kepada muslimin dan muslimah yang berkunjung dan beribadah disana . Cahaya lampu disetiap ruang telah menambahkan keceriaan kepada ruang solat ini. Selain itu, karpet yang digunakan sebagai pelapik lantai ini cukup selesa.
Tiang ruang mimbar juga diperbuat daripada batu marmar yang berwarna coklat manakala dindingnya juga mempunyai reka bentuk yang melambangkan agama Islam.
Di ruangan dalaman mimbar juga terdapat hiasan lampu dan dinding yang pelbagai warna manakala mimbarnya dibuat daripada kayu bermutu berukiran warisan tradisional Kesultanan Melayu dahulu . 


Jika diperhatikan , pada bahagian atas mimbar ini pula, terdapat sebuah lampu kristal yang memenuhi ruangan tengah masjid diikuti beberapa lampu kecil. Di bahagian silingnya pula dihiasi dengan kalimah nama Allah dan ukiran siling kapur yang begitu unik. 

Ruang letak  kereta juga dibina luas bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke Masjid Ubudiah. Ruang letak kereta ini juga dijadikan persinggahan dan tempat untuk berehat bagi para pengunjung selain melawat dan beribadah di masjid ini .

Di bahagian hadapan masjid pula, dibina sebuah kolam yang dilengkapi air pancut yang memberikan kedamaian kepada pengunjung. Di bahagian luar masjid yang menelan belanja kira-kira RM2.9 juta itu dihiasi batu marmar air yang bersih dan bercahaya .

Di bahagian luar pagar masjid pula, masjid ini dihiasi tumbuh-tumbuhan hijau sepanjang laluan pejalan kaki manakala papan tanda pula dibuat dengan batu marmar dengan tulisan yang menarik.

Reka bentuk pagar yang  berkonsepkan ala istana  dengan menggunakan cat berwarna putih dan besinya dicat warna keemasan serta hitam. Rumput hiasan ditanam di beberapa bahagian luar masjid serta pokok pinang.



 

Sejarah Pembinaan Masjid Ubudiah Kuala Kangsar..

    

Masjid Ubudiah adalah merupakan antara sebuah masjid yang tercantik di daerah kuala Kangsar. Masjid ini juga merupakan salah satu masjid yang menjadi kebanggaan rakyat jelata negeri Perak .

Masjid Ubudiah ini telah dibina di Bukit Chandan. Masjid ini telah dinamakan Masjid Iskandariah kerana ianya dibina berdekatan dengan kawasan Istana Iskandariah. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Diraja.   

Masjid ini dibina atas titah perintah Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916) yang merupakan Sultan Perak yang ke-28.Baginda bernazar untuk membina masjid ini setelah baginda pulih daripada penyakitnya. 

Baginda meluahkan hasrat baginda yang bernazar  membina masjid ini ketika Baginda  beristirahat dalam rawatan di Port Dickson Negeri Sembilan. Gambaran peta dibawah ini menunjukkan lokasi masjid ini dan kawasan di sekitarnya.

Masjid Ubudiah ini juga dibina dengan pengaruh seni bina `Saracenic' (Islam-India). Masjid ini telah direka bentuk oleh A.B. Hubback, yang merupakan seorang arkitek kerajaan. Kerja-kerja perlaksanaan pula telah dipertanggungjawabkan kepada  Caufield,  yang merupakan Ketua Jurutera Negeri Perak pada ketika itu.


Proses pembinaan ini bermula dari zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Azam Shah. Proses pembinaan bermula pada 26 September 1913,apabila satu upacara perletakan batu asas bagi masjid ini telah diadakan. 

Sultan Idris telah terlibat dalam menyempurnakan majlis ini. Majlis upacara perletakan batu asas ini turut dihadiri oleh Sir Arthur Young,  yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan pembesar-pembesar lain. Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut.

Walaubagaimanapun, pembinaan masjid Ubudiah telah tergendala hampir selama 4 tahun kerana  marmar yang  disimpan telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan. Peristiwa itu berlaku ketika sambutan majlis berkhatan Raja Khalid,  yang merupakan anak kepada Sultan Abdul Jalil. 

Ianya bermula apabila  seekor gajah baginda yang  bernama kulub Chandan  dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaan Raja Chulan bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok. 

Pergelutan gajah itu juga telah melarat hampir ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya, batu marmar itu pecah dan rosak. 

Perjuangan gajah ini telah berlanjutan sehingga berjam-jam lamanya, dan pergelutan itu telah dileraikan oleh Raja Chandan yang  datang sendiri, Raja Chandan  menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya supaya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai orang yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Tambahan pula, pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama,pada masa itu kapal terpaksa melalui Tanjung Harapan . 

Sehinggalah pada Tahun 1917 barulah masjid  ubudiah dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah yang merupakan Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada Tahun 1916.  Perbelanjaan pembinaan masjid Ubudiah ketika itu di anggarkan berjumlah hampir RM220,000.00 .